All News

‘PROGRAM KECEMERLANGAN STPM 3.00 SMK TENGKU SULEIMAN - GSEEP

13 MEI 2024 / 5 ZULKAEDAH 1445H

=============================

“UUM : UNIVERSITI PENGURUSAN TERKEMUKA”

(THE EMINENT MANAGEMENT UNIVERSITY)

Oleh: Nur Nabila Natasha Othman

Gambar oleh : Urusetia Program

CSR STPM

Pada 13 Mei hingga 15 Mei 2024, Ghazali Shafie Executive Enhancement Programme (GSEEP) di bawah Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG) buat pertama kalinya telah mengadakan kerjasama dengan Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Tengku Suleiman, Perlis dalam menganjurkan Program Kecemerlangan STPM 3.00 Semester 2. Peserta yang mengikuti program ini terdiri daripada 90 orang pelajar sekolah diiringi 25 orang guru dari SMK Tengku Suleiman.

Program Kecemerlangan ini adalah sebahagian dari usaha untuk membantu meningkatkan motivasi dan menyuntik semangat para pelajar Tingkatan Enam supaya mencapai keputusan yang lebih cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Program ini telah dirangka dengan penuh teliti dengan menyediakan bengkel pelbagai subjek seperti MUET, Ekonomi, Pengurusan Perniagaan, Seni Visual, Sejarah, Geografi, Pengajian Am, dan Bahasa Melayu.

Timbalan Dekan GSGSG, Prof. Madya Dr. Kamarul Azman Khamis dalam ucapannya mengalu-alukan kedatangan pelajar SMK Tengku Suleiman ke UUM sambil merasmikan program tersebut. Menurutnya, penganjuran program ini bukan sahaja membantu pelajar dari aspek akademik, malah ia akan memberi pendedahan kepada pelajar suasana pembelajaran dan kehidupan di dalam kampus UUM. Hal ini dapat menarik minat para pelajar untuk menyambung pengajian di UUM kelak.

Manakala Dekan GSGSG, Prof. Dr. Rusdi Omar dalam ucapan penutup program menyatakan bahawa beliau berharap semua pelajar SMK Tengku Suleiman dapat menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Awam di Malaysia dan dapat mempertimbangkan UUM sebagai pilihan utama untuk menyambung pengajian. Sebagai salah satu universiti terkemuka di Malaysia dalam bidang pengurusan, UUM menawarkan program-program yang berkualiti, pensyarah yang berkelayakan, dan pelbagai peluang pembelajaran tambahan yang memperkaya pengalaman pelajar.

Saya ingin mengingatkan anda bahawa perjalanan ini adalah mengenai kesungguhan, ketekunan, dan keazaman. Tetapkan matlamat yang jelas, teruskan berusaha dengan gigih, dan jangan pernah berhenti untuk memperbaiki diri. Saya yakin bahawa setiap satu dari anda memiliki potensi yang besar untuk mencapai kejayaan di UUM dan universiti lainnya. Sambutlah cabaran dengan semangat yang tinggi, nikmatilah setiap detik dari pengalaman pembelajaran anda, dan jadilah individu yang bermakna dalam masyarakat,” ujarnya.

Akhir kata, program Kecemerlangan STPM 3.00 Semester 2 bersama pelajar SMK Tengku Suleiman adalah satu contoh inisiatif yang membuktikan komitmen terhadap peningkatan pendidikan di peringkat sekolah menengah. Diharapkan program seperti ini akan terus berkembang dan memberi impak yang positif kepada pelajar-pelajar dalam usaha mereka mencapai kejayaan akademik dan peribadi.

Habis.