All News

MAJLIS MAKAN MALAM APRESIASI GRADUAN PASCASISWAZAH UUM COLGIS 2025 - RAIKAN KECEMERLANGAN GRADUAN

09 NOVEMBER 2025 / 19 JAMADIL AWAL 1447H

=============================

“UUM: UNIVERSITI PENGURUSAN TERKEMUKA”

            (THE EMINENT MANAGEMENT UNIVERSITY)

Oleh: Nurul Hamiza Hamzah

Gambar oleh: GSGSG, UUM COLGIS

MAJLIS MAKAN MALAM APRESIASI GRADUAN PASCASISWAZAH UUM COLGIS 2025 - RAIKAN KECEMERLANGAN GRADUAN

dinner 2025

SINTOK, 9 November 2025 – Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Universiti Utara Malaysia, telah berjaya menganjurkan Majlis Makan Malam Graduan Pascasiswazah UUM COLGIS 2025 bersempena Majlis Konvokesyen UUM Ke-38. Acara penuh gilang-gemilang bertemakan Melayu Klasik ini berlangsung di RAIA Hotel & Convention Centre, dan menghimpunkan para graduan pascasiswazah UUM COLGIS serta barisan pensyarah dan pimpinan universiti.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Berbahagia Prof. Dato’ Mohd Fo’ad Sakdan, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, serta Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab, Penolong Naib Canselor UUM COLGIS bersama para Dekan pusat pengajian UUM COLGIS.

Dalam ucapan alu-aluan, Dekan GSGSG, Prof. Dr. Rusdi Omar, menyampaikan penghargaan kepada semua graduan atas kejayaan menamatkan pengajian dengan cemerlang. Beliau menegaskan bahawa pencapaian tersebut bukan sahaja hasil kecerdikan, tetapi juga dedikasi, keazaman dan ketabahan yang telah dibina sepanjang pengajian di UUM.

Beliau turut memetik kata-kata sarjana Bo Bennett, “Dreams become goals when action is taken toward their achievement,” sebagai peringatan bahawa setiap kejayaan bermula daripada keberanian untuk bermimpi dan usaha yang berterusan.

Penghargaan turut diberikan kepada para penyelia dan pensyarah atas dedikasi mereka dalam membimbing dan membentuk modal insan berpengetahuan serta berkepimpinan.

Beliau menambah bahawa dalam dunia yang semakin mencabar dengan perubahan geopolitik, tadbir urus dan teknologi, graduan UUM perlu kekal berpegang pada nilai integriti, profesionalisme, khidmat dan kerendahan hati. Mengambil inspirasi tokoh negarawan Tun Ghazali Shafie, beliau menegaskan bahawa kepimpinan bukan sekadar memegang jawatan, tetapi kesediaan memikul tanggungjawab membina masa depan yang lebih baik.

Majlis diteruskan dengan sesi penyampaian hadiah cabutan bertuah, persembahan, serta jamuan makan malam dalam suasana penuh meriah dan elegan. Graduan diraikan sebagai duta UUM yang bakal membawa nama universiti ke pelbagai sektor seperti kerajaan, diplomatik, dasar awam, akademik, undang-undang, swasta dan misi antarabangsa.

Mengakhiri ucapan, Prof. Dr. Rusdi menyampaikan pesanan Malcolm X:
“Education is the passport to the future, for tomorrow belongs to those who prepare for it today.”
Beliau berharap agar para graduan terus belajar, menyumbang dan memimpin dengan kebijaksanaan serta keikhlasan.

Majlis Makan Malam Apresiasi Graduan Pascasiwazah UUM COLGIS 2025 ini bukan sekadar sebuah acara meraikan penamat pengajian, tetapi simbolik permulaan perjalanan baru sebagai pemimpin masa depan

TAMAT.