All News

GSGSG DEKATI KOMUNITI KAMPUNG BANGSAL LEBAH SEMARAKKAN SEMANGAT KEMERDEKAAN

10 SEPTEMBER 2026 / 28 RABIULAWAL 1448H

=================================

“UUM: UNIVERSITI PENGURUSAN TERKEMUKA”

            (THE EMINENT MANAGEMENT UNIVERSITY)

Berita oleh : Nurul Hamiza binti Hamzah

Gambar oleh : Muhammad Haziq Arsyad bin Zulkafli

GSGSG DEKATI KOMUNITI KAMPUNG BANGSAL LEBAH SEMARAKKAN SEMANGAT KEMERDEKAAN

KUALA PERLIS – Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat menerusi penganjuran Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) GSGSG Siri 2 Tahun 2026 Bersama Komuniti Kampung Bangsal Lebah yang berlangsung meriah sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Gambar CSR Siri 2 2026 11zon

Program yang mengangkat tema “Merdeka dengan Ilmu, Berbudi dan Berbakti dengan Komuniti” itu telah menghimpunkan lebih 500 orang daripada kalangan komuniti setempat dan warga GSGSG dalam pelbagai aktiviti yang berteraskan semangat kebersamaan, kesukarelawanan dan patriotisme.

Majlis telah disempurnakan oleh Dekan GSGSG, YBrs. Prof. Dr. Rusdi bin Omar, yang dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa peranan universiti tidak seharusnya terhad kepada aktiviti akademik dan penyampaian ilmu di dalam kampus semata-mata, sebaliknya ilmu perlu diterjemahkan melalui nilai budi dan bakti agar manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat.

Menurut beliau, GSGSG sebagai sebuah pusat pengajian yang memberi tumpuan kepada bidang kerajaan, dasar awam, kepimpinan, keselamatan dan pembangunan negara perlu sentiasa mendekati masyarakat bagi memahami realiti kehidupan, mendengar pandangan komuniti serta membina hubungan yang lebih bermakna dan berterusan.

“Apabila ilmu digabungkan dengan budi dan diterjemahkan melalui bakti, barulah kehadiran universiti benar-benar dapat dirasai oleh masyarakat,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa penghayatan makna kemerdekaan perlu dilihat secara lebih menyeluruh, bukan sekadar sebagai kebebasan daripada penjajahan, malah merangkumi usaha memperkasakan masyarakat melalui akses kepada ilmu, budaya saling membantu dan tanggungjawab untuk memastikan golongan yang memerlukan tidak tercicir daripada arus pembangunan.

Gambar CSR Siri 2 2026 2 11zon

Salah satu pengisian utama program ialah penyampaian 20 set bakul makanan kepada 20 buah keluarga asnaf yang telah dikenal pasti dan dipilih oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Bangsal Lebah. Sumbangan tersebut diharap dapat membantu meringankan keperluan harian keluarga penerima, di samping mencerminkan keprihatinan warga universiti terhadap kesejahteraan masyarakat setempat.

Suasana program turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sukan rakyat yang berlangsung di kawasan bendang, termasuk tarik tali dalam bendang, pukul bantal di atas batang pinang dan tangkap itik dalam bendang. Aktiviti berkenaan bukan sahaja mencetuskan suasana ceria dan penuh gelak tawa, malah berjaya mengeratkan hubungan antara warga GSGSG dan komuniti melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti tradisional dan kebudayaan setempat.

Semangat patriotisme pula disemarakkan menerusi gimik pelancaran kibaran Jalur Gemilang yang disempurnakan dengan penyertaan sekumpulan penunggang motosikal daripada komuniti Kampung Bangsal Lebah. Gimik tersebut menjadi antara detik istimewa program dan berjaya menyuntik semangat cintakan negara dalam suasana sambutan Bulan Kebangsaan.

Turut hadir memeriahkan program ialah Puan Norhayati binti Hashim, Pengerusi JPKKP Kampung Bangsal Lebah, wakil daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) serta wakil Khidmat Kangar (K4K).

Gambar CSR Siri 2 2026 3

Penganjuran program ini diharap dapat menjadi platform yang memperkukuh jaringan dan kerjasama antara UUM, khususnya GSGSG, dengan komuniti setempat, selaras dengan aspirasi universiti untuk memperluas impak ilmu dan kepakaran melangkaui sempadan kampus. Program ini juga membuktikan bahawa hubungan universiti dan masyarakat dapat diperkasa melalui pendekatan yang lebih dekat, inklusif dan berteraskan nilai kemanusiaan.

Dengan semangat “Merdeka dengan Ilmu, Berbudi dan Berbakti dengan Komuniti”, GSGSG berharap usaha sebegini akan terus menyuburkan budaya kesukarelawanan, keprihatinan sosial dan semangat kebersamaan, sekali gus membina hubungan yang lebih erat dan bermakna antara warga universiti dan masyarakat.

-Tamat-