All News

PROGRAM PERSIDANGAN ANTARABANGSA POLITIK MALAYSIA-INDONESIA OLEH MAPAN-GSEEP

17 JULAI 2024 / 11 MUHARRAM 1446H

=============================

“UUM : UNIVERSITI PENGURUSAN TERKEMUKA”

(THE EMINENT MANAGEMENT UNIVERSITY)

Oleh: Nur Nabila Natasha Othman

Gambar oleh : Nur Nabila Natasha Othman

SEMINAR MAPAN

Seramai 43 orang Delegasi dari Indonesia telah menyertai Bengkel Program Persidangan Antarabangsa Politik Malaysia-Indonesia oleh Institute of Malaysian Political Analysis (MAPAN) dengan Kerjasama Ghazali Shafie Executive Enhancement Programme (GSEEP) dan Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD) pada 17 hingga 18 Julai 2024 bertempat di Auditorium Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.

Program Persidangan Antarabangsa Politik yang bertemakan “Menilai Kualiti Demokrasi dan Hubungan Bilateral” ini merupakan perjanjian kerjasama penyelidikan, penerbitan, persidangan, penyediaan latihan eksekutif dan pengambilan pelajar pascasiswazah antara MAPAN, GSEEP, AIIAD dengan 14 buah universiti dan Institut di Indonesia. Selain itu, program ini juga telah menubuhkan Indonesian-Malaysian Political Institutions Network (IMAPIN) yang bakal diterajui oleh MAPAN.

Pembentukan jaringan secara rasmi juga telah dibuat melalui Letter of Intent (LoI) sebagai usaha untuk melestarikan hubungan serantau dan mempelbagaikan koloborasi dalam meningkatkan kuantiti dan kualiti penyelidikan, penerbitan, persidangan dan pengambilan pelajar pascasiswazah.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Sakdan dalam ucapan perasmiannya berkata beliau memandang tinggi kesudian Delegasi dari Indonesia menempuh perjalanan yang jauh dari tanah seberang ke sini untuk menjayakan Persidangan Antarabangsa Politik ini. Kehadiran dan Perbicangan kertas kerja daripada semua Delegasi Indonesia ini membolehkan UUM memperkukuhkan hubungan politik, ekonomi dan sosial antara Malaysia dan Indonesia. Hal ini penting untuk mengenalpasti bidang untuk kerjasama dan manfaat bersama.

Program Persidangan Antarabangsa Malaysia-Indonesia ini amat penting untuk kita bersama-sama menilai kualiti demokrasi di Malaysia dan Indonesia serta memahami dinamika hubungan bilateral antara kedua-dua negara, kata Dekan GSGSG semasa ucapan perasmian. Beliau juga turut berharap agar LOI yang disusuli dengan pembentukan jaringan secara rasmi melalui Memorandum Persefahaman ini dapat merangsang usaha untuk melestarikan hubungan serantau dan mempelbagaikan kolaborasi dalam meningkatkan kuantiti dan kualiti penyelidikan, penerbitan, persidangan dan pengambilan pelajar pascasiswazah antara semua universiti dan institusi yang terlibat.

Akhir kata, program Persidangan Antarabangsa Malaysia-Indonesia ini menunjukkan satu inisiatif yang baik dalam menjalin hubungan baik antara Malaysia-Indonesia dalam sudut penyelidikan serta penerbitan. Program ini seharusnya dianjurkan dengan kolaborasi banyak pihak lagi supaya institusi penyelidikan negara dapat perkembang dan maju kehadapan.